Belanja Ramadhan Ikut Piawaian Syari’e

Ramadhan adalah bulan penjimatan. Seharusnya perbelanjaan di bulan Ramadhan secara tidak langsung menjadi lebih rendah berbanding perbelanjaan harian pada bulan-bulan yang lain. Namun realiti dalam kehidupan kita, corak perbelanjaan Ramadhan telah bercampur-baur dengan pelbagai perkara, khususnya lebih terikut dengan corak perbelanjaan utiliti. Hakikat dan tuntutan sebenar perbelanjaan Ramadhan kadangkala menjadi semakin terpinggir. Menjengah realiti budaya sekitar tahun 1970an, masyarakat kita hanya bersedia dengan penuh kesederhanaan dan mungkin ianya dipengaruhi oleh faktor ekonomi. Perbelanjaan sederhana, tetapi amalan bersedekah kepada jiran tetangga sangat popular menepati anjuran Islam agar kita menjamu orang berbuka puasa. Realiti hari ini, persediaan berbuka puasa bertukar menjadi Majlis formal, mewah dan kadangkala ditetapkan sasaran ‘standard’ Majlis berbuka tersebut. Kita juga telah berubah menjadi satu budaya, sebilangan besar kita menjadi kebiasaan  membeli makanan dan minuman di bazar-bazar Ramadhan  yang tumbuh melata di segenap bandar dan kampung. Begitu juga dengan amalan berbuka di tempat-tempat mewah seperti hotel, restoran elit dan sebagainya semakin menular dalam masyarakat. Kos sekali berbuka puasa melebihi sebulan perbelanjaan golongan miskin yang memerlukan. Begitu juga selepas solat terawih mula timbul khususnya di bandar-bandar, amalan menyediakan moreh `yang agak berat’. Semakin ramai penaja atau penderma yang menyediakan moreh sehingga pihak pengurusan masjid terpaksa memindahkan kepada waktu-waktu lain seperti program Qiamullail dan juga bersahur. Budaya menderma dalam bentuk makanan ini menjadi sesuatu yang begitu sukar untuk diubah dalam bentuk derma yang lain. Dalam keadaan ini sudah pasti banyak pembaziran dan pemborosan telah berlaku dan jelas bertentangan dengan tuntutan Ramadhan. Hakikat Ramadhan dan objektif kesabaran dan belas kasihan yang dianjurkan oleh Islam kadangkala agak tersasar.

Sekali lagi kita dapati realiti yang bercanggah sewaktu membuat persediaan untuk menyambut hari raya. Sebagaimana kita semua maklum, malam-malam terakhir perlu dipenuhi dengan ibadat-ibadat bagi mendapat ganjaran `Lailatul Qadar’. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Masjid-masjid dan surau-surau mulai susut jemaahnya begitu drastik dibandingkan dengan jumlah jemaah pada awal Ramadhan. Penumpuan pada masa ini lebih terfokus kepada persiapan hari raya sama ada menyediakan kuih-muih yang banyak atau membeli-belah di pasar raya-pasar raya. Pada masa ini hampir kesemua pusat membeli belah dipenuhi para pengunjung yang ramai lebih-lebih lagi  pada waktu malam.

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan di kalangan masyarakat muslim di bandaraya terpilih, beberapa rumusan tentang piawaian syar’ie dalam perbelanjaan Ramadhan yang boleh kita jadikan panduan dan rujukan, antaranya:

Tokoh ilmuan semasa merumuskan konsep perbelanjaan yang yang dianggap asasi menurut definisi dharuriyyat bagi masyarakat Islam secara umumnya adalah merangkumi aspek makanan dan minuman, pakaian dan tempat tinggal. Manakala sebahagian ilmuan semasa meletakkan aspek kenderaan juga sebagai asas dharuriyyat untuk tujuan pencarian nafkah, menuntut ilmu dan urusan-urusan fardhu ain yang lain. Menurut garis panduan yang dikemukakan oleh beberapa muftí, aspek lain yang turut menjadi keperluan asas ialah pendidikan fardhu ain dan penjagaan kesihatan secara umum. Dengan penyesuaian kehidupan di bandaraya, aspek simpanan asas dan insurans tertentu juga dianggap sebagai keperluan yang diletakkan pada tahap hajiyyat.

Walaupun secara tepatnya aspek dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat adalah subjektif dan relatif, namun secara kasarnya perbelanjaan dharuriyyat yang dikira keperluan asas sebenar boleh dibuat garis panduan kasar  yang berpandukan pandangan mufti dan sarjana semasa.

 

ASPEK

DESKRIPSI

DHARURIYYAT

MakananPakaian

 

Tempat Tinggal

Pendidikan

Kesihatan

Sarapan, makan tengahari & makan malam mengikut keperluan gizi seimbang Sekurang-kurangnya dua pasang pada satu-satu masaRumah yang terdiri daripada tiga bilik; komponen untuk ibubapa, anak lelaki dan anak perempuan

Pembiayaan pendidikan fardhu ain

Kos penjagaan dan perawatan kesihatan asas; tidak termasuk perawatan kecantikan dan kosmetik

Garis Panduan Keperluan Asas Dharuriyat

Khusus bagi bulan Ramadhan, tokoh ilmuan Islam semasa merumuskan gelagat pemakanan yang berdasarkan definisi dharuriyyat sebagai makanan ringan untuk bersahur, makanan berat untuk berbuka dan makanan ringan untuk minum malam ataupun moreh.

Budaya berbuka dengan pelbagai hidangan kuih muih dan lauk pauk adalah sama sekali tidak termasuk sebagai keperluan dharuriyyat mahupun hajiyyat, malah sama ada ia hanya diklasifikasikan sebagai tahsiniyyat (sekiranya mampu dan tidak meudharatkan kesihatan) dan mungkin tabzirat (sekiranya membawa kepada pembaziran atau memudharatkan kesihatan diri).

Namun rumusan juga dibuat bahawa budaya moreh yang sebenarnya paling sesuai untuk minuman ringan orang yang bertadarus, ia bukanlah suatu keperluan dharuriyat bahkan termasuk dalam konteks hajiyyat. Sekiranya budaya moreh yang menyediakan jamuan berat, ia  dikira tabzirat (pembaziran).

Masyarakat bandaraya kebiasaannya lebih terdedah kepada gelagat perbelanjaan yang mewah ataupun pembaziran. Kewujudan pelbagai bazar Ramadhan, pusat beli belah segera ataupun tawaran dan promosi menyambut perayaan adalah antara senario yang menjelaskan keghairahan masyarakat di kota berbelanja sepanjang Ramadhan. Dalam konteks ini, garis panduan yang dikemukakan oleh beberapa tokoh mufti perlu diberi perhatian iaitu pakaian hari raya yang menjadi tuntutan (sekiranya mampu) adalah bersederhana; sepasang pakaian Melayu dan sepasang pakaian kasual yang sesuai bagi masyarakat Melayu untuk berjalan-jalan ataupun ziarah. Ini adalah garis panduan kesederhanaan agar budaya perbelanjaan kita tidak melampaui batas.

Garis panduan atau templat perancangan kewangan keluarga, perancangan perbelanjaan, plan bajet dan sebagainya perlulah mengambilkira hirarki perbelanjaan yang dituntut oleh Islam. Dalam konteks ini, konsep ibadah dalam Islam akan terjejas sekiranya amalan yang dilakukan tidak berdasarkan hirarki ataupun meninggalkan aspek yang lebih afdhal; berdasarkan konsep fiqh al aulawiyyat.

Penghayatan ruh dan hikmah Ramadhan secara tepat kian terpinggir di kalangan masyarakat Islam. Terdapat gelagat yang tidak bersesuaian dan keterlaluan berlaku dalam masyarakat Islam di negara kita terutamanya di bandaraya seperti sambutan budaya beli belah, sambutan pesta pelbagai makanan dan minuman, malah konsep bersedekah untuk majlis berbuka puasa dan moreh juga membawa lebih banyak kepada pembaziran secara tidak munasabah. Ini amat berbeza dengan cara sambutan Ramadhan di sesetengah negara Islam di Timur Tengah seperti Jordan dan negara-negara Arab yang dikatakan gelagat sambutan Ramadhan mereka secara lebih sederhana.

Semoga ruh Ramadhan dapat kita hayati sebaiknya, dengan kita memantapkan praktis perbelanjaan yang menepati tuntutan syar’ie, dan pada masa yang sama dilimpahi barakah, rahmah dan maghfirah yang dijanjikan Allah sepanjang Ramadhan ini. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang lalu, dan amalan kita diterima oleh Allah sepenuhnya.

About MOHD NOR MAMAT

Mohd Nor Mamat is an ASSOCIATE PROFESSOR at the Centre for Islamic Thought and Understanding, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM). He is currently completing his PhD in Education.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>