Ramadhan bulan Al Quran

KITA dan AL QURAN

 

Di antara kelebihan bulan Ramadhan adalah kerana Allah menurunkan al-Quran di dalam bulan ini. Firman Allah di dalam al-Quran:

 

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

 

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”

(Al-Baqarah: 185)

 

Bahkan, bukan al-Quran sahaja, sebaliknya kitab-kitab sebelumnya juga diturunkan di dalam bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah s.a.w.:

 

أنزلت صُحُف إبراهيم في أول ليلة من رمضان. وأنزلت التوراة لسِتٍّ مَضَين من رمضان، والإنجيل لثلاث عَشَرَةَ خلت من رمضان وأنزل الله القرآن لأربع وعشرين خلت من رمضان

 

“Diturunkan suhuf Ibrahim pada malam pertama di bulan Ramadhan. Diturunkan Taurat pada hari keenam Ramadhan. Diturunkan Injil pada hari ke 13 bulan Ramadhan. Diturunkan al-Quran pada hari ke 24 bulan Ramadhan.”

 (Riwayat Imam Ahmad)

 

Di dalam riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Marduweh dari Jabir bin Abdullah dinyatakan bahawa Zabur diturunkan pada malam ke 12 bulan Ramadhan dan diturunkan Injil pada hari ke 18 bulan Ramadhan. Khilaf adalah pada malam keberapa, tetapi berlaku kesepakatan bahawa semuanya diturunkan pada bulan Ramadhan.

 

Inilah yang difahami oleh generasi salafussoleh. Mereka menyimpulkan bahawa Ramadhan adalah bulan al-Quran.

 

Imam Syafie mengkahatamkan al-Quran sebanyak 60 kali setiap kali datang bulan Ramadhan. Imam Ahmad akan menutup buku-buku dengan maksud tidak lagi mentelaahnya untuk menumpukan kepada al-Quran dan ibadah lain di bulan Ramadhan. Di antara amalan Imam Ahmad di bulan Ramadhan adalah membaca al-Quran dengan banyak di dalam 300 rakaat solat pada setiap malam Ramadhan. Imam Malik akan menghentikan semua kelas-kelas pengajiannya untuk menumpukan kepada al-Quran. Imam Qatadah, seorang ulamak tabien mengkhatam al-Quran setiap tujuh hari pada bulan-bulan biasa. Tetapi di bulan Ramadhan, beliau akan mengkhatamkan sekali setiap tiga hari. Apabila sampai ke 10 malam terakhir beliau akan mengkhatam al-Quran sebanyak sekali setiap hari. Begitulah juga seorang lagi ulamak tabien bernama Sufyan al-Thauri, beliau akan meninggalkan amalan-amalan lain dan hanya memberikan tumpuan kepada al-Quran.

 

Ramadhan bulan al-Quran … ambillah peluang untuk meletakkan al-Quran di kedudukannya yang sebenar di bulan Ramadhan ini. Al-Quran adalah kitab untuk dibaca, ditadabbur, diamalkan, dijadikan hukum, dijadikan perlembagaan dan sebagainya. Imam Ibnu al-Qayyim ketika menafsirkan firman Allah:

 

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

 

“Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”.

(Al-Furqan: 30)

 

Beliau berkata:

 

وهجر القرآن أنواع:
أحدها: هجر سماعه والإيمان به والإصغاء إليه.
والثاني: هجر العمل به والوقوف عند حلاله وحرامه، وإن قرأه وآمن به. والثالث: هجر تحكيمه والتحاكم إليه في أصول الدين وفروعه، واعتقاد أنه لا يفيد اليقين، وأن أدلته لفظية لا تحصل العلم.
والرابع: هجر تدبره وتفهمه، ومعرفة ما أراد المتكلم به منه. والخامس: هجر الاستشفاء والتداوي به في جميع أمراض القلوب وأدوائها، فيطلب شفاء دائه من غيره، ويهجر التداوي به … وإن كان بعض الهجر أهون من بعض.

 

“Meninggalkan al-Quran itu pelbagai bentuknya:
Pertama: Tidak mahu mendengarnya, tidak beriman dengannya dan tidak menumpukan perhatian kepadanya.
Kedua: Tidak mengamalkannya dan tidak menjaga halal dan haramnya walau pun dia membacanya dan beriman dengannya.
Ketiga: Tidak berhukum dengannya di dalam usul dan furu’ agama serta beriktikad bahawa kandungannya bukanlah suatu yang pasti dan dalil lafaz-lafaznya tidak membawa kepada keyakinan.
Keempat: Tidak mentadabbur dan cuba memahaminya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah daripadanya.
Kelima: Tidak berubat dengannya bagi merawat segala penyakit hati. Lalu mereka mengambil selain dari al-Quran untuk mengubat penyakit hati dan meninggalkan al-Quran sebagai rawatan.
Sebahagian bentuk itu lebih ringan dari sebahagian yang lain.”

 

Begitulah sepatutnya manusia dan al-Quran. Begitulah sepatutnya kita di bulan Ramadhan. Perlakukanlah Ramadhan sepadan dengan sifat yang Allah berikan kepadanya.

 

 

Checklist ‘mesra’ berkaitan Al Quran:

Ader ker Al Quran? …tak kan la tak der
Bacer ker selalu? …hmmmm (?)
Faham ker maksud? …hmmm (??)
Praktis ker yang faham tew? …hmm (???) …kalau x faham, nak praktis camaner?

 

 

Tips Membaca Al-Qur’an 

 

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat praktikal untuk menambah amal ibadah termasuklah membaca Al-Qur’an. Pada bulan Ramadhan, umat Islam tidak perlu makan tengahari, para suri rumah pula tidak perlu menyediakan makan tengah hari seperti hari-hari lain. Bukan sahaja waktu makan dapat dijimatkan, waktu untuk anggota badan untuk memproses ‘digest’ makanan juga tidak diperlukan. Beriku ialah beberapa tips menyusun waktu membaca Al-Qur’an sepanjang bulan Ramadhan.

 

Membuat jadual membaca Al-Qur’an sepanjang bulan Ramadhan. Kata orang “ada jadual yang tidak dipatuhi lebih baik dari tidak punya jadual”. Namun tentunya kita berazam untuk mematuhi jadual yang dibuat sebaik mungkin. Contoh jadual membaca Al-Qur’an,

 

Sekali imbas, menghabiskan bacaan Al-Qur’an pada satu bulan Ramadhan terasa berat. Namun jika dibahagikan satu hari satu juzuk, mungkin akan terasa lebih ringan. Secara purata setiap juzuk hanya mengandungi sekitar 40 halaman sahaja.

 

Misi menamatkan bacaan Al-Qur’an sepanjang bulan Ramadhan akan terasa mudah dan praktikal jika jumlah halaman ini dirancang dan dibahagikan mengikut jadual yang ditetapkan. Jika kita dapat mendisiplinkan setiap kali sebelum dan selepas solat dengan membaca hanya 5 halaman, insya Allah kita akan dapat mengkhatamkan Al-Qur’an sebelum Ramadhan berakhir.

 

Sasaran menamatkan bacaan Al-Qur’an sekurang-kurangnya sekali sepanjang Ramadhan bukanlah suatu misi yang mustahil. Generasi awal Islam (salafus soleh) telah membuktikan, bahawa mereka dapat melakukan lebih baik dari kita.

 

Dilaporkan seorang tabi’in, Imam Qatadah menamatkan bacaan Al-Qur’an tujuh hari sekali yakni setiap minggu. Pada bulan Ramadhan beliau menamatkan al-Qur’an setiap 3 hari, dan pada akhir Ramadhan beliau khatam Al-Qur’an setiap hari. Manakala seorang lagi tabi’in yang lain Imam Ibrahim Nakha’ie melakukan hal yang sama.

 

Perlu diberi catatan, pada ketika itu suasana dan keadaan mereka tidak seperti umat Islam zaman moden. Suasana siang mereka tanpa pendingin hawa dan malam mereka berlangsung tanpa bekalan eletrik atau lampu kalimantang. Namun, begitu ia langsung tidak menghalang dari mereka untuk menekuni bacaan Al-Qur’an.

 

Semangat mereka membaca al-Qur’an sebanyak-banyaknya tidak lain tidak bukan semata-mata ghairan untuk meraih pahala dan ganjarang yang banyak dari Allah. Nabi menyebutkan setiap huruf diberikan 10 ganjaran. Ditambah pula pada bulan Ramadhan setiap amalan digandakan 10 kali ganda lagi. Maha Suci Allah, benar-benar sungguh Allah itu Maha Pemurah kepada hamba-hambanya.

 

Disebutkan juga dalam sebuah hadith yang lain tentang ganjaran membaca Al-Qur’an, Sahabat Uqbah bin Amir menceritakan,

 

“Nabi Muhammad keluar sedangkan kami berada di Suffah, lalu beliau berkata,

‘Siapakah diantara kalian yang mahu pergi ke Buth-han atau ‘Aqiq setiap hari dan membawa pulang dua ekor unta yang gemuk, tanpa melakukan dosa dan memutuskan silaturrahim?’

Kami berkata, ‘Kami semua mahu, wahai nabi Allah’.

Lalu beliau menyambung, ‘Kalau begitu, kenapa kalian tidak mahu pergi ke masjid untuk belajar atau membaca dua ayat dari kitab Allah. Itu lebih baik dari dua ekor unta, dan tiga ayat lebih baik dari tiga dan empat ayat lebih baik dari empat dan sejumlah unta’.

(Riwayat Imam Muslim)

 

Selalu berdamping dengan Al-Qur’an. Antaranya caranya ialah dengan menyediakan beberapa naskah Al-Qur’an beserta terjemahan. Letakkan naskah-naskah ini di tempat-tempat kita selalu berada seperti di bilik tidur, di ruang tamu, dalam kereta, di pejabat dan di dalam beg tangan bagi wanita atau beg kerja bagi lelaki. Dapatkan Al-Qur’an beserta terjemahan bersaiz kecil yang ‘portable’ supaya mudah untuk di bawa kemana-mana.

 

Memanfaatkan waktu-waktu senggang dan waktu-waktu menunggu untuk membaca Al-Qur’an. Tanpa kita sedari, setiap hari kita membiarkan masa-masa senggang berlalu sia-sia. Sebagai contoh waktu memanaskan enjin kereta setiap pagi, waktu menunggu bas atau tren pergi dan balik kerja setiap hari. Waktu menunggu di pejabat pos, klinik dan kaunter-kaunter perkhidmatan. Jika dihitung-hitung dan dikumpul-kumpulkan, waktu yang kita bazirkan boleh mencecah berjam-jam setiap hari.

 

Mengurangkan kegiatan lain yang kurang memberi manfaat. Sebagai contoh membaca segmen akhbar dan majalah yang kurang penting. Begitu juga mengurangkan menonton rancangan yang tidka bermanfaat ditelevisyen. 2 jam masa yang dihabiskan untuk menonton sebuah drama atau filem bersama iklan-iklannya boleh digunakan untuk menghabiskan bacaan satu juzuk Al-Qur’an.

 

Gunakan teknologi yang dekat dengan kita seperti FB, Twitter, Whatsapp, handphone, desktop komputer dll untuk membaca (apps), bertadabbur ataupun tazkirah tentang Al Quran supaya dapat dimanfaatkan sebagai ibadah.

 

About MOHD NOR MAMAT

Mohd Nor Mamat is an ASSOCIATE PROFESSOR at the Centre for Islamic Thought and Understanding, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM). He is currently completing his PhD in Education.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>