Melayari Internet Sebagai Ibadah

Dah agak lama sangat tidak aktif untuk update blog…mungkin agak banyak menggunakan saluran FB lebih kerap akhir-akhir ini :) . Just nak share satu artikel santai saya untuk manfaat kita bersama. Jom jadikan aktiviti melayari internet berpahala! :)

Pendahuluan

Kita semua tidak mampu melarikan diri daripada realiti dunia internet sama ada mengenali, mengguna malah mengeksploitasi teknologi tersebut; bermula daripada melakukan kerja-kerja rutin berkaitan tugas harian, belajar, mendapatkan maklumat, berkomunikasi serta pengurusan kerja dan sebagainya. Internet boleh dikatakan sebahagian hidup kita yang sama sekali tidak boleh dipisahkan. Ditinjau ke belakang dua tiga dekad lalu, kita mungkin hanya memperkatakan tentang televisyen di setiap buah rumah, tetapi kini kempen satu komputer satu keluarga dipromosikan secara bersungguh-sungguh oleh pihak kerajaan mahupun pihak swasta. Internet atau apa juga media yang dicipta, subjek utama yang perlu diberi perhatian adalah maklumat dan ilmu yang diakses, distor atau disebarkan.

Internet Menurut Kacamata Islam

Persoalan tentang aplikasi internet untuk kegunaan mencari ilmu dan maklumat seringkali dibincangkan daripada beberapa sudut iaitu:

  1. Sudut pesimis: bahawa kewujudan internet hanya semata-mata mengundang gejala negatif kepada umat Islam.
  2. Sudut optimis: bahawa internet adalah berguna dan seolah-olah internet adalah segala-galanya dalam dunia maju hari ini.
  3. Sudut rasionalis: bahawa internet dicipta oleh teknologis dengan ciri-cirinya tersendiri dan ia perlu ditentukan hala tuju utilitinya menurut falsafah Islam.

Untuk berada pada sudut yang selamat, kita melihat secara rasional beberapa pro dan kontra yang dimiliki oleh teknologi canggih tersebut. Sama ada maklumat (berita) atau ilmu, Islam melihat kepada nilai manfaatnya. Ilmu boleh didefinisikan sebagai maklumat yang berguna dan bermakna dengan ciri dan objektifnya yang tersendiri sehingga membawa kepada taqarrub kepada Allah. Hari ini, kita memperkatakan maklumat sebagai maklumat menyebabkan kita tidak mengeksploitasi media teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai sumber ilmu. Sabda Junjungan Nabi Muhammad SAW, mafhumnya:

Jadilah kamu orang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mendengar ilmu, atau orang yang mencintai ilmu dan janganlah kamu menjadi orang yang kelima; nescaya kamu akan binasa.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi tujuan mencapai taraf kondisi pengaksesan dan penyebaran maklumat bertukar menjadi ilmu, banyak aspek perlu diberi perhatian. Ilmu merupakan sesuatu yang sangat tinggi dan perlu dihormati menurut status dan maqamnya. Ilmu memiliki karamah dan nilai kehebatannya tersendiri yang tidakakan terhasil jika tidak dijalin interaksi dengannya secara yang wajar. Islam memperkatakan isu adab dan hemah dalam konteks pencarian ilmu sejak wahyu pertama diturunkan lagi. Alah mengingatkan konsep pencarian ilmu mestilah berasaskan kepada konsep tawhid iaitu ‘dengan nama Allah’ beserta pengakuan keimanan terhadapNya sekaligus. Sebenarnya, lima ayat pertama yang diturunkan oleh Allah merumuskan konsep pencarian, storan dan penyebaran maklumat dan ilmu. Ia bermula dengan arahan mencari ilmu menerusi pembacaan, kemudian distorkan menggunakan minda sebagaimana yang disimbolkan oleh penciptaan kepala (otak) manusia sebagai unsur terawal yang dibentuk daripada seketul darah (‘alaq) dan seterusnya maklumat tersebut perlu dipakejkan secara tersusun untuk disebarkan seperti dalam bentuk penulisan (menggunakan pena). Inilah yang digambarkan dalam ayat tersebut, mafhumnya:

Bacalah! Dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Yang menciptakan kamu daripada seketul darah. Bacalah! Dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mulia. Yang mengajar manusia dengan pena.

(Al ‘Alaq: 1-5)

Internet adalah suatu rahmat untuk kita dalam melaksanakan tuntutan Islam yang menganjurkan pencarian, pengembangan dan pemantapan ilmu semenjak dari buaian sehingga ke liang lahad adalah ciri utama yang perlu ada dalam masyarakat berilmu. Konsep murid dan guru berlangsung selagi mana hayat dikandung badan. Kepupusan adab antara murid dan guru menyebabkan maklumat disebarkan tanpa disertai rasa hormat, jujur dan dipenuhi dengan prejudis, dendam, khianat dan sebagainya.

Penyebaran maklumat palsu ataupun tidak disahkan kepastiannya adalah amat besar kesalahannya di sisi Allah. Memang mudah kita menyebarkan pembohongan maklumat terutama dalam dunia siber yang tidak mengenali antara satu sama lain, tetapi amaran Allah seharusnya menjadi bekalan pendinding agar kita sentiasa beretika dengan Allah. Mafhum firman Allah:

 (Ingatlah) ketika kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal di sisi Allah adalah besar.

(An Nur: 15)

Dalam konteks pengurusan maklumat, kita haruslah mementingkan sumber yang sahih serta mengelakkan daripada prejudis dan prasangka tanpa maklumat yang tepat. Allah mengingatkan kita tentang ancaman azabNya terhadap orang yang banyak berprasangka serta menggunakan saluran maklumat untuk propaganda menjatuhkan orang lain, firmanNya yang bermaksud:

Hai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan salah sangka (dugaan terhadap sesama muslim) kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari ‘aib orang serta janganlah setengah kamu mengumpat yang lainnya. Sukakah salah seorang kamu bahawa ia memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai)? Maka tentu kamu benci memakannya…

(Al Hujurat: 12)

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman, mafhumnya:

Sekiranya datang kepada kamu seorang fasiq membawa berita (maklumat) maka hendaklah kamu menyiasatnya; dibimbangi takut-takut kamu menghukum sesuatu kaum dengan kejahilan kamu, lalu kamu nanti menyesalinya.

(Al Hujurat: 6)

Praktis Adab Melayari Internet Sebagai Ibadah

Ramai di kalangan ulama’ atau sarjana Islam silam memperkatakan tentang adab menuntut ilmu, menyebarkan ilmu atau adab murid dan guru. Malah sejak era Rasulullah lagi, kedudukan guru diletakkan pada statusnya yang tertinggi selepas Rasul dan ibubapa. Ini banyak dibahaskan oleh ulama silam yang boleh kita rujuk untuk diadun semula dalam konteks realiti kita hari ini, umpamanya Imam Al Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin, Ibnu Khaldun dalam kitabnya Mukaddimah atau Prof Dr Ahmad As Syalabi dalam tulisannya Tarikh Ad Dirasah Al Islamiyyah. Intipati kepada pemikiran Bapa Falsafah kita umpamanya, Imam Al Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin banyak memperkatakan adab sebagai pengakses ilmu, penyebar ilmu dan malah sebagai pengurus ilmu. Antara beberapa idea beliau yang masih relevan dan seharusnya dihayati dalam dunia maklumat hari ini…

Penyebar maklumat tidak boleh menyebarkan sesuatu maklumat dengan niat takabur dan riak ataupun sengaja disensasikan bagi tujuan kemegahan atau kebongkakan kecuali ke atas musuh yang zalim. Penyebar maklumat hendaklah memberi keutamaan kepada penyebaran maklumat yang diperlukan oleh umum mengikut hirarki dan prioriti keperluannya. Penyebar maklumat tidak harus menyebarkan sesuatu maklumat yang tidak pasti dan bukan ahli dalam bidang tersebut. Sebagai murid, pengakses maklumat tidak digalakkan mempersoalkan terlalu banyak kemusykilan remeh temeh sehingga membingungkan gurunya atau penyebar maklumat tersebut. Pengakses maklumat juga tidak harus menjalankan ujian terhadap sumber maklumat dengan tujuan menyerlahkan kelemahannya kecuali untuk menyelidiki kualiti autoriti dan keadilan peribadi sumber tersebut mengikut kaedah sewajarnya. Penyebar maklumat perlu memiliki matlamat ke arah menjadikan sasaran pengakses menjadi semakin baik atau lebih cemerlang dengan maklumat yang disampaikan.

Berdasarkan kepada perspektif Al Quran dan Al Hadis serta pandangan para ulama’ dalam bentuk aplikasinya, marilah kita sama-sama merenung beberapa panduan praktikal dengan kita mendasarkan kepada apa yang telah digariskan oleh Allah dan rasulNya. Mimbar melihat relevansi penyebar dengan diri kita sebagai pengguna emel dan pengakses sebagai pengguna laman web.

Marilah kita memulakan praktis secara lebih beretika dalam mendapatkan maklumat dalam internet agar ia menjadi transaksi ilmu yang dikira sebagai ibadah. Antaranya;

  1. Hendaklah kita biasakan diri kita dengan merujuk maklumat dan ilmu daripada laman web yang kita yakini autoritinya sahaja, seperti pengenalan .edu, .gov atau sebagainya berbanding laman web yang dihoskan secara bebas tanpa identiti yang diyakini.
  2. Hendaklah kita menganggap diri kita seorang murid dengan adabnya yang betul ketika mendapatkan maklumat daripada internet, agar terhasil suasana barakah serta menghasilkan manfaat ilmu.
  3. Hendaklah membiasakan diri mengguna internet secara berpanduan. Mencari maklumat dalam laman web umpama pelayaran. Tetapkan kompas sebelum mengangkat sauh, bukannya mencari-cari arah tuju dalam pelayaran. Gunakan ’search engine’ untuk membantu kita sampai ke tempat tujuan, bukannya mengikut arus yang ditentukan olehnya.
  4. Elakkan daripada mengunjungi laman web yang berbentuk forum bebas, blog atau laman hos bebas kecuali benar-benar kita mengenali autoriti penyedianya.
  5. Aktifkan peralatan keselamatan seperti ’pop up blocker’, anti virus dan sebagainya untuk menjadi pengawal yang sekurang-kurangnya mampu memberikan cadangan keselamatan kita sepanjang pelayaran dalam mencari maklumat dalam internet.

Dalam konteks yang lain, aplikasi e-mel menuntut praktis secara lebih beradab untuk mencapai status ibadah berkomunikasi dan silaturrahim yang memenuhi tuntutan ’hablun minannas’. Antaranya;

  1. Pengenalan emel yang kita gunapakai perlulah menggunakan nama yang baik dan mudah dikenali berbanding penggunaan nama samaran yang pelbagai seperti blackcat@yahoo.com, motor_rider@gmail.com dan sebagainya.
  2. Penggunaan ayat hendaklah disesuaikan dengan kefahaman pembaca secara mudah kerana dalam bentuk tekstual, elemen emosi sukar disampaikan kecuali disertai penggunaan emotikon atau istilah universal yang menggambarkan maksud gembira, sedih atau sebagainya.
  3. Adab komunikasi asas seperti didahului dan diakhiri salam perlu diamalkan. Pengenalan ’signature’ juga hendaklah dibiasakan bagi melaksanakan nasihat Rasulullah agar memperkenalkan nama kita apabila berkomunikasi/ memanggil seseorang dari luar rumah.
  4. Sebarkanlah berita dan maklumat yang berguna sahaja. Elakkan amalan ’spamming’ kerana ia boleh mengganggu keselesaan orang ramai sekiranya mereka tidak berkaitan secara langsung dengan maklumat tersebut.
  5. Anggaplah diri kita sebagai seorang guru apabila menyebarkan sesuatu maklumat agar lebih rasa tanggungjawab. Objektif seorang guru adalah untuk menyampaikan suatu yang baik dan berguna sahaja untuk muridnya.

Semoga kehidupan kita dalam era teknologi maklumat hari ini dikira sebagai ibadah dan membuahkan barakah serta hikmah untuk membina diri kita semua sebagai umat yang beriman dan berilmu, seterusnya ilmu yang diakses menjadikan kita umat yang diiktiraf ketaqwaan kepada Allah, selari dengan firman Allah mafhumnya:

…sebenarnya yang bertaqwa dan takutkan (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah mereka yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

(Fatir: 28)

Hubungi saya di FB atau Twitter @usmohdnoor

About MOHD NOR MAMAT

Mohd Nor Mamat is an ASSOCIATE PROFESSOR at the Centre for Islamic Thought and Understanding, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM). He is currently completing his PhD in Education.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>