Model Integriti Rasulullah SAW

Pengenalan

Integriti merupakan nilai yang menentukan kualiti seseorang. Dalam konteks pembangunan diri insan, penanda aras atau sasaran kualiti perlu lebih objektif agar lebih mudah dan jelas untuk diukur pencapaiannya. Dalam hal ini, selain kita meninjau kualiti diri Rasulullah pada perspektif ketrampilannya serta melihat aspek integriti peribadi, transparensi diri dalam kehidupan bermasyarakat secara kolektif serta akauntabiliti baginda secara holistik; horizontal (sesama manusia) dan vertikal (terhadap Tuhan).

Dengan merujuk kepada penanda aras atau indikator secara objektif, audit terhadap status integriti diri seorang muslim sekurang-kurangnya mempunyai petunjuk atau objektif sasaran untuk dicapai secara jelas. Asesmen integrit diri sering menjadi isu utama dalam memberikan penilaian terhadap kualiti seseorang individu sama ada dalam konteks penilaian nilai pelajar ataupun penilaian prestasi pekerja. Ini berlaku lantaran ketiadaan indikator yang khusus digunakan dan menyebabkan isu ini terbuka kepada perdebatan yang tidak berkesudahan. Meskipun diskusi ini hanya mengusulkan hanya satu perspektif integriti khusus untuk individu muslim semata-mata namun kerangka konsepsual ini boleh diaplikasi dalam pelbagai keperluan dan dimensi yang berbeza dengan sedikit modifikasi yang sesuai.

Latarbelakang Rasulullah

Rasulullah ialah Muhammad bin Abdullah, berketurunan Bani Hasyim dan baginda dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571M. Baginda dilahirkan di Mekah sebagai anak yatim. Dalam usianya yang kecil, baginda kehilangan ibu tersayang dan menumpang kasih pada datuk dan bapa saudaranya. Kehidupan baginda sedari kecil dilambung kesusahan dan kesempitan hidup. Baginda pernah melakukan pelbagai kerja kasar seperti mengembala kambing dan mengikuti rombongan perniagaan. Baginda berkahwin dengan seorang hartawan Mekah pada usia 25 tahun. Isteri baginda iaitu Khadijah ketika itu berusia 40 tahun. Meskipun baginda berkahwin dengan hartawan, namun kekayaan tidak mempengaruhi kehidupannya yang berterusan secara sederhana.

Pada usia 40 tahun, baginda menerima petanda kerasulan dan menyebarkannya kepada seluruh ahli masyarakat di sekelilingnya. Sepanjang melaksanakan tugasnya sebagai rasul, kualiti keperibadiannya lebih terserlah apabila dihadapkan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Penghijrahan baginda ke Madinah dengan sokongan padu masyarakat di sana menjadi titik lonjakan kepada penyebaran ajaran Islam ke seluruh alam. Di Madinah, baginda telah mengasaskan sebuah negara yang terulung di dunia memiliki dokumen perlembagaan yang teratur dan komprehensif. Malah dokumen itu sendiri menjelaskan konsep kualiti dalam pengurusan apabila aspek kandungannya merangkumi nilai integriti, transparensi dan akauntabiliti secara jelas.

Kekuatan kualiti peribadi insani Rasulullah inilah yang menjadi aset utama kepada pencapaian cemerlang baginda sebagai tokoh agung dalam pelbagai aspek; pengurusan dan kepimpinan diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia sepanjang sejarah. Di samping itu dalam kepercayaan umat Islam sendiri, Rasulullah diyakini sebagai utusan Tuhan khusus untuk menjadi penanda aras kepada kualiti insan yang tertinggi.

Piawaian Integriti Profetik

Rasulullah merupakan seorang manusia yang agung dan memiliki peribadi unggul yang berkualiti tinggi.  Lantas, keperibadian baginda seharusnya menjadi ‘benchmark’ atau piawaian kepada perbincangan integriti insan sepanjang zaman. Dalam konteks Islam, asas ini perlu dijadikan sandaran kukuh yang diimani sebagai piawaian yang wajib diikuti dalam aplikasi kehidupan setiap penganutnya.

Allah berfirman, mafhumnya:

‘Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat semesta alam.’

(Al Anbiya’: 107)

Dalam diskusi ini, beberapa aspek integriti Rasulullah disentuh dari sudut jendela integriti, transparensi dan akauntabiliti dalam pengurusan baginda terhadap dirinya, Tuhan, persekitaran dan pengikut bawahannya. Inilah yang membuktikan bahawa baginda memiliki kekuatan nilai kualiti dalaman yang kemudiannya terjelma dalam pengurusan diri, masyarakat dan negaranya.

Nilai integriti Rasulullah boleh dirumuskan dengan beberapa kuotasi berikut, umpamanya Hind ibn Halla menggambarkan keperibadian Rasulullah sebagai:

‘Rasulullah seorang yang selalu berfikir dan banyak berdiam diri. Dia tidak bercakap tanpa sebab. Beliau bercakap dengan mulut penuh (tidak sombong) dan bercakap dengan tuntas. Pertuturannya berpatutan; tidak lebih dan tidak kurang. Dia tidak angkuh atau merendahkan orang lain. Dia memuji orang walaupun dalam hal kecil dan tidak pernah mengeji orang. Dia tidak pernah mencela makanan. Dia tidak pernah marah kerana perkara-perkara kehidupan atau yang berkaitannya. Tetapi jika keadilan dicabuli, tiada yang dapat menahan marahnya sehinggalah keadilan ditegakkan. Dia tidak pernah marah kerana hal berkaitan dirinya atau membalas dendam untuk dirinya. Jika dia memberi isyarat, dia menggunakan seluruh tapak tangannya. Jika dia merasa hairan, dia membalikkannya. Jika dia marah, dia berpaling dan bila gembira dia menundukkan pandangannya. Ketawanya sekadar senyuman.’

Ali ibn Abi Talib memperincikan tetang ketrampilan Rasulullah sebagai:

‘Dia tidak kasar dan tidak suka perangai yang kasar dan dia tidak pernah menjerit di pasar. Dia tidak membalas kejahatan dengan kejahatan sebaliknya memaafkan dan melupakannya. Dia tidak pernah memukul apa-apa dengan tangannya kecuali ketika berperang. Dia tidak pernah memukul orang suruhan atau wanita, dan aku tidak pernah melihatnya membalas dendam ke atas ketidak adilan ke atasnya melainkan jika larangan Allah dilanggar. Jika larangan dilanggar, dia adalah antara yang paling marah. Dia tidak pernah memberikan pilihan antara dua perkara sebaliknya memilih yang lebih mudah. Jika berada di rumah, dia seperti lelaki lain; membasuh pakaiannya, memerah susu kambingnya dan melayan dirinya. Dia menjaga lidah daripada perkara yang tidak berkaitan dengan dirinya. Dia menerima (kedatangan) orang ramai dan tidak menolaknya. Dia memuliakan golongan mulia dan memberikan mereka kuasa urusan mereka. Dia berhati-hati dengan mereka, pada masa yang sama sentiasa senyum serta berkelakuan seperti sepatutnya. Dia bertanya khabar tentang sahabat dan orang ramai. Dia menggalakkan perkara yang baik; dan tidak menyokong atau menghalang perkara yang buruk. Dia seimbang dan konsisten. Dia tidak pernah mengabaikan sesuatu sehingga mereka (orang ramai) mengabaikannya. Dia sentiasa bersedia untuk semua keadaan dan sangat adil. Mereka yang bijaksana adalah yang rapat dengannya. Yang paling dipandang tinggi olehnya di kalangan mereka adalah yang paling mengambil berat hal orang lain dan membantu mereka. Dia tidak duduk dan berdiri tanpa memuji Tuhan. Jika dia masuk ke majlis, dia akan duduk di hujung (bukan di depan) dan menggalakkan orang lain berbuat demikian. Jika seseorang datang berjumpanya atau meminta pertolongannya, dia akan bersabar sehingga mereka (tetamu) yang pergi dahulu. Mereka yang meminta daripadanya tidak pernah dihampakan melainkan dia memberi apa yang diminta atau diucapkan kata-kata yang baik. Keceriaannya dan budi bahasanya menawan mereka sehingga dia bagaikan bapa mereka dan mereka mempunyai hak yang sama sepertinya. Mereka di sekelilingnya adalah orang yang berilmu, rendah diri, sabar dan jujur…’

Dalam konteks akauntabiliti baginda terhadap Tuhan, Al Mughirah Ibn Syu’bah menceritakan:

Rasulullah biasanya berdiri sembahyang sehingga kakinya bengkak dan merekah. Dia ditanya ‘Bukankah Tuhan telah mengampunkan segala kesilapanmu yang lalu dan akan datang?’ Baginda menjawab ‘Apakah tidak patut aku menjadi hamba yang bersyukur?’

(Riwayat Bukhari)

Siti Aisyah dalam hal akauntabiliti Rasulullah terhadap tugasnya kepada Tuhan, menyebut:

‘Rasulullah pernah berpuasa sehingga orang berkata baginda tidak akan berhenti daripada berpuasa; dan baginda pernah tidak berpuasa sehingga orang berkata baginda tidak pernah berpuasa.’

(Riwayat Bukhari)

Anas menyambung gambaran peribadi Rasulullah, menyebut:

‘Kamu menyangka tidak akan melihatnya bersembahyang di tengah malam tetapi baginda bersembahyang; dan kamu menyangka baginda tidak akan tidur tetapi baginda tidur.’

(Riwayat Bukhari)

Berkaitan rahsia kepatuhannya kepada arahan dan perintah Tuhannya, baginda meletakkan pra syarat betapa nilai akauntabiliti itu bukannya dipaksa tetapi lahir daripada keterbukaan menerima tugas dan peranan sebagai hamba. Baginda bersabda:

‘Aku tenang di dalam sembahyang’

(Riwayat Bukhari)

Ini menepati wahyu Allah dalam Al Quran betapa sembahyang (amanah tugas yang paling utama terhadap Tuhan) itu adalah sesuatu yang amat berat kecuali hanya bagi orang yang khusyu’; melakukannya dengan penuh keterbukaan, kesedaran dan berakauntabiliti.

Dalam konteks akauntabiliti baginda terhadap amanah kepemimpinan masyarakat dan ummah, baginda meletakkan umatnya sebagai teristimewa dalam lubuk hatinya. Baginda mendahulukan doa untuk umatnya, para sahabatnya dan orang lain melebihi kepentingan baginda sendiri. Baginda bergurau dengan sahabat sekeliling, berbual seperti manusia kebiasaannya, bermain bersama anak cucu dan kanak-kanak lain. Baginda mendahulukan semua orang tanpa membezakan sesiapapun. Baginda menziarahi sesiapa sahaja yang sakit atau meninggal. Baginda seorang lemah lembut pertuturannya, pemurah, peramah dan pemaaf.

Dalam hal kualiti interaksi baginda dengan masyarakat sekeliling, Abdulah ibn Al Harith menjelaskan:

‘Aku tidak pernah melihat orang yang sentiasa tersenyum melainkan Rasulullah.’

(Riwayat At Tarmizi)

Anas ibn Malik menceritakan:

‘Rasulullah suka bermain dengan kami (kanak-kanak) sehingga baginda pernah berteka teki dengan adikku: ‘Wahai Abu Umayr! Apakah yang selalu (burung) nughair lakukan?’

(Riwayat Bukhari)

Rasulullah sentiasa mengelakkan diri daripada mendengar maklumat buruk atau negatif mengenai orang lain.

Abu Daud menceritakan jawapan Rasulullah kepada orang yang ingin menyampaikan tentang sesuatu negatif berkaitan orang lain, menyebut:

‘Jangan kamu sampaikan cerita buruk mengenai sahabatku kerana aku ingin bertemu mereka dengan hati yang suci (positif).’

(Riwayat Bukhari)

Ibn Mas’ud meriwayatkan pesanan Rasulullah tentang kualiti interaksi manusia, sabdanya:

‘Berlembutlah dan jangan jadikan (pengajaran agama) sukar. Bawakan khabar gembira dan jangan menolak (harapan orang).’

Rasulullah juga sangat memelihara hubungannya dengan manusia; apabila baginda menegur seseorang, baginda akan hanya menyebutnya secara umum tanpa menyentuh nama sesiapapun (Riwayat Abu Daud).

Begitu gambaran Rasulullah dalam soal kualiti kepemimpinannya terhadap masyarakat dan negara. Pada masa yang sama, dalam konteks kepemimpinan dan akauntabiliti baginda terhadap peranan dalam keluarga juga berlangsung seiringan, baginda digambarkan oleh Siti Aisyah sebagai:

‘Rasulullah biasanya membaiki kasutnya, menjahit pakaiannya dan melakukan kerja-kerja rumah seperti orang lain. Dia selalu membersihkan pakaiannya, memerah susu kambingnya dan membuat kerja-kerja lain…. Dia berkhidmat untuk keluarganya sehinggalah tiba waktu solat bila mana dia akan pergi untuk bersolat.’

(Riwayat At Tarmizi)

Anas ibn Malik menggambarkan Rasulullah sebagai:

‘Aku tidak pernah melihat sesiapa yang mengasihi anak-anaknya lebih daripada Rasulullah.’

(Riwayat Muslim)

Kualiti peribadi Rasulullah dalam konteks interaksi sesama manusia diperkuatkan dengan sifat humanistiknya yang menghormati orang lain, pemaaf dan baik hati. Ini digambarkan dalam beberapa hadis berikut:

‘Rasulullah tidak pernah bercakap dengan cara menghina ataupun sengaja bercakap perkara tidak baik. Dia pernah berkata ‘Yang paling kusayangi di kalangan kamu adalah yang baik peribadi dan akhlaknya.’

(Riwayat Bukhari)

Lapan puluh orang dari pergunungan Tan’im di Mekah datang ke Mekah berniat untuk menyerang Rasulullah. Dia berjaya menangkap mereka tetapi tidak membunuh mereka pun.’

(Riwayat Muslim)

Aku sedang berjalan bersama Rasulullah dan dia memakai baju besi Najran yang tebal. Seorang Badwi datang berjumpa dengannya dan menarik baju besi dengan kuat sehingga meninggalkan bekas pada kulit Rasulullah. Dia (Badwi) berkata ‘Muhammad! Perintahkan supaya aku diberikan sebahagian daripada harta Allah yang kau ada.’ Rasulullah berpaling kepadanya dan tersenyum lalu memerintahkan supaya diberikan sebahagian harta kepadanya.’

(Riwayat ibn Malik)

Dalam kes yang lain, baginda didatangi oleh seorang bukan Islam menuntut hutang secara kasar lalu ditegur secara kasar oleh Umar. Baginda lalu mententeramkan Umar dan berkata kepada orang tersebut bahawa tempoh bayarannya masih berbaki tiga hari lagi. Meskipun begitu, dia tetap membayarnya dan menambah bayarannya sebagai gantirugi dikasari oleh Umar. Lelaki tersebut akhirnya memeluk Islam (Riwayat Al Baihaqi).

Sebenarnya banyak lagi indikator-indikator integriti diri berkaitan Rasulullah yang perlu digali untuk penghayatan manusia hari ini. Secara kesimpulannya, Rasulullah adalah manusia unggul dalam perlbagai aspek dan mempunyai nilai integriti yang tertinggi pada semua perkara. Baginda sendiri menegaskan betapa baginda hanyalah hamba dan manusia seperti manusia lain. Meskipun baginda seorang ketua negara, baginda mengikat untanya sendiri, memberi makan binatang peliharaannya, makan bersama orang suruhannya, menguli roti bersama mereka dan membawa sendiri barangan yang dibelinya di pasar.

Akhirnya dalam konteks pengurusan dan pemerintahannya, baginda melaksanakan setiap dasar pengurusan Negara yang bersifat demokrasi dan transparens; sama ada dengan ahli kabinetnya dan juga rakyat. Inilah nilai kualiti unggul seorang manusia sederhana tetapi terbaik pada semua perkara.

Pengiktirafan Kualiti Peribadi Rasulullah

Beberapa pengiktirafan (sebagai sampel disebutkan sebahagiannya) berikut lebih menjelaskan lagi konsep dan keunggulan kualiti yang dimiliki serta diasaskan oleh Rasulullah. Antara pengiktirafannya ialah;

‘…terdapat banyak butiran dari sumber-sumber awal yang menunjukkan bahawa (Muhammad) adalah seorang jujur dan luhur, yang telah memenangi rasa hormat dan kesetiaan ramai orang lain yang juga jujur dan luhur sepertinya.’

(Encyclopedia Britannica)

‘Beliau mesti digelar Penyelamat Kemanusiaan. Saya percaya jika orang sepertinya menjadi diktator pada zaman moden, beliau akan berjaya menyelesaikan banyak masalah dunia sedemikian rupa sehingga membawa kedamaian dan kebahagiaan.’

(George Bernard Shaw)

‘Saya ingin mengenali manusia terbaik ini yang tanpa sebarang keraguan hari ini telah memenangi hati jutaan manusia. Saya semakin yakin bahawa bukan pedang yang membawa kemenangan kepada Islam semasa hayatnya tetapi adalah kesederhanaannya; sikap beliau yang amat tidak suka menonjolkan diri, keteguhannya menunaikan janji, kasih sayangnya terhadap sahabat dan pengikutnya, keberaniannya yang tidak mengenal takut, kepercayaan penuh terhadap Tuhan dan tugasnya…’

(Mahatma Ghandi)

‘Pilihan saya meletakkan Muhammad mendahului senarai orang yang paling berpengaruh mungkin mengejutkan segolongan pembaca dan mungkin dipersoalkan oleh segolongan yang lain; tetapi beliau adalah satu-satunya tokoh dalam sejarah yang amat berjaya di kedua-kedua tahap iaitu keagamaan dan sekular.’

(Michael H. Hart)

‘Pemimpin mesti menjalankan tiga tugas iaitu menjamin kesejahteraan orang yang dipimpin, menyediakan organisasi social yang mesra rakyat dan memerikan mereka satu set kepercayaan. Mereka umpama Pateur dan Salk sebagai pemimpin dalam tugas pertama. Mereka umpama Ghandi, Confucius, Alexander Agung atau Caesar sebagai pemimpin dalam tugas kedua. Mereka umpama Jesus dan Buddha sebagai pemimpin dalam tugas ketiga. Mungkin pemimpin teragung dalam semua zaman adalah Muhammad yang menggabungkan ketiga-tiga tugas; Musa juga berbuat demikian tetapi pada tahap yang lebih rendah.’

(Jules Masserman)

‘…seorang pemimpin negara dan gereja (rumah ibadat), beliau adalah Kaisar dan Pope pada masa yang sama. Beliau adalah Pope tanpa mendakwa dirinya Pope, dan beliau adalah Kaisar tanpa kemegahan seorang Kaisar, tanpa askar yang bersiap sedia, tanpa pengawal peribadi, tanpa pasukan polis dan tanpa pendapatan tetap. Jika pernah ada manusia memerintah negara dengan perintah Tuhan, beliau adalah Muhammad kerana beliau memiliki kuasa tanpa sokongan kuasa. Beliau tidak mengendahkan kemuliaan kuasa. Kesederhanaan kehidupan peribadinya adalah selari dengan kehidupan awamnya.’

(Bosworth Smith)

‘Sama ada serius atau remeh, kehidupan hariannya menjadi kanun kepada jutaan manusia yang mencontohinya secara sedar. Tiada manusia lain dihormati sebagai manusia yang sempurna yang dicontohi sedemikian rupa. Tingkah laku pengasas agama Kristian tidak dicontohi dalam kehidupan harian pengikutnya. Tambahan lagi tiada pengasas mana-mana agama yang telah meninggalkan seorang tokoh seunggul nabi umat Islam.’

(D. G. Horth)

‘Tiada tokoh agung dalam sejarah yang begitu dihormati di barat seperti Muhammad. Oleh itu, bukan sahaja kita perlu mengiktiraf kejujuran dan keutuhan matlamat Muhammad jika kita mahu memahaminya; juga jika kita mahu memperbetulkan kesilapan yang kita warisi dari masa silam…’

(W. Montgemenry Watt)

‘Beliau amat sederhana dalam makan minumnya dan kerap berpuasa. Beliau tidak memakai pakaian indah yang merupakan kemegahan orang yang cetek fikirannya; cara pakaian ringkasnya adalah kerana tidak mahu berbeza daripada orang lain… Urusan peribadinya dijalankan dengan adil. Beliau melayan sahabatnya dan orang yang tidak dikenalinya; yang kaya dan yang mskin; yang berkuasa dan yang lemah secara saksama dan dikasihi oleh rakyat biasa disebabkan keramahannya serta kesudiannya mendengar aduan mereka. Kemenangannya dalam peperangan tidak menimbulkan rasa megah sedikitpun. Semasa kemuncak kekuasaannya, beliau mengekalkan kesederhanaan dalam tingkah lakunya dan ketrampilannya seperti masa susahnya. Beliau bukan sahaja tidak menunjuk-nunjuk sifat mulia malah tidak merasa senang jika ditunjukkan rasa hormat berlebihan apabila memasuki sesuatu tempat. Jika matlamat beliau adalah penguasaan sejagat maka penguasaan itu adalah dari sudut kepercayaan; mengenai kuasa pemerintahan dalam tangannya, tidak pernah beliau menggunakan sewenang-wenangnya dan tidak pernah diperturunkan kepada ahli keluarganya.’

(Washington Irwing)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada petunjuk dan indikator yang dibincangkan di atas, setiap penganut Islam boleh meletakkan sasaran objektif kualiti diri sendiri untuk dicapai. Apabila ditanya kepada Siti Aisyah tentang nilai integriti Rasulullah, beliau menegaskan bahawa peribadinya adalah peribadi Al Quran. Ini bermakna indikator Profetik yang dibincangkan ini sekaligus merupakan indikator Quranik, yang kemudiannya menjadi sandaran yang paling kukuh untuk dijadikan penanda aras yang wajar diaplikasi. Seluruh umat Islam mengaguminya sebagai tokoh agung yang tidak dipertikaikan sama sekali. Malahan sebegitu banyak pengiktirafan oleh mereka yang sebahagiannya merupakan golongan yang anti kepada agama yang dibawa baginda, namun hakikatnya tidak boleh dinafikan sama sekali. Sekaligus, ini membuktikan betapa integriti baginda adalah suatu indikator holistik untuk dijadikan sasaran objektif kualiti diri insan yang unggul sepanjang zaman.

About MOHD NOR MAMAT

Mohd Nor Mamat is an ASSOCIATE PROFESSOR at the Centre for Islamic Thought and Understanding, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM). He is currently completing his PhD in Education.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>